Jika cari MH370 begini, pasti saya tidak
peluk Islam, kata Ridhuan Tee - Pendakwah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah
hari ini menyifatkan perlakukan raja bomoh dalam usahanya mencari
pesawat hilang Malaysia Airlines MH370 hanya akan lebih menyesatkan umat
Islam jika ada yang terpedaya dengan upacara ritualnya itu.
Beliau berkata, jika upacara sedemikian berlaku ketika zamannya hendak
memeluk Islam suatu masa dahulu pasti hajatnya itu tidak kesampaian.
“Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang menjumpai MH370
itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh
daripada menumpahkan ketaatan kepada Allah.
“Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370
sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam,” katanya menerusi
satu artikel dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
Ibrahim Mat Zin atau juga dikenali sebagai raja bomoh datang ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua kali sepanjang minggu lalu
bagi mengadakan upacara ritual untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang
sejak dua minggu lalu.
Dia yang pada mulanya mengaku diupah oleh orang kenamaan mengubah
kenyataannya mendakwa upacara itu dilakukan atas inisiatifnya sendiri.
Perbuatan bomoh Ibrahim Mat Zin bertentangan dengan Islam dan menyebabkan Malaysia menjadi bahan ketawa dunia.
Ridhuan berkata, umat Islam sewajarnya perlu melihat apa yang terkandung
dalam ajaran agama Islam itu sendiri berbanding melihat perlakuan
segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, dalam pencarian MH370, umat Islam digalakkan berserah kepada
Allah kerana Dialah yang lebih mengetahui hikmah di sebalik semua
kejadian ini.
“Ketika saya memeluk Islam dahulu pun, saya mengkaji Islam dan mendalami
Islam. Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah
berteraskan kepada Al-Quran dan sunnah.
“Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh
menjejaskan akidah. Ingin saya jelaskan, perbuatan berbomoh seperti
dilakukan ini bukan daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia
mengikut kaedah Islam,” katanya.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu berkata, apa yang
dilakukan oleh bomoh itu bukan sahaja mengundang keaiban yamg besar
kepada Malaysia malah negara menjadi bahan ketawa.
Katanya, jika benar bomoh mahu membantu mencari MH370 dengan
‘kesaktiannya’ maka ia perlu dilakukan di tempat tertutup supaya tidak
menjadi perhatian umum.
“Anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan
kejadian ini. Menggunakan bomoh dan sihir mencari MH370 menjadi bahan
ketawa dunia.
“Jika ditanya orang kafir sekalipun, mereka tidak akan mempercayai
perkara tersebut. Paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa
mengikut cara masing-masing,” katanya
No comments:
Post a Comment