Latest News

Kekasih hati Andrew Garfield

EMMA mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang versatil.


EMMA STONE. Dengan sepasang mata bundar, sikap mesra dan dilabelkan sebagai cahaya atau pembakar semangat dalam produksi francais terbesar Spider-Man, wanita kelahiran Arizona, Amerika Syarikat ini pantas menjadi sebutir bintang bersinar dalam dunia hiburan Hollywood.
Ternyata, kepercayaan yang diberi pengarah terkenal Marc Webb untuk dia membintangi The Amazing Spider-Man (2012) bergandingan dengan Andrew Garfield membuahkan hasil.
Bagaimanapun, menjadi heroin selepas trilogi filem itu yang terlebih dahulu telah menjadi fenomena bukan kerja mudah dalam karier Emma.
Ini kerana penonton sudah terbiasa melihat kehadiran Kirsten Dunst yang memegang watak sebagai Mary Jane dalam francais Spider-Man sebelumnya.
Dalam penampilan pertamanya, Emma berjaya melakonkan wataknya dengan baik. Bagaimanapun, filem itu mendapat kritikan kerana dikatakan tidak begitu baik berbanding tiga francais sebelumnya di sebalik kutipan filem itu yang mencecah RM2.4 bilion selepas ditayangkan.
Terbaharu, Emma muncul lagi untuk mendokong watak sama di dalam filem The Amazing Spider-Man 2 yang bakal menemui peminat di negara ini bermula 1 Mei ini.
Kali ini penghayatannya sebagai kekasih Peter Parker dikatakan sangat baik.
Tentu sekali kesan watak Mary Jane yang digalas Kirsten sebagai heroin di dalam filem Spider-Man (2002), Spider-Man 2 (2004) dan Spider-Man 3 (2007) sukar dikikis tetapi Emma ternyata berjaya mencipta karakter untuk diingati penggemar filem adaptasi komik Marvel itu.
Kirsten Dunst
Menurut Emma, dia berasa teruja ketika pertama kali ditawarkan dan membintangi filem itu. Namun jelas figura ini, dalam musim kedua ini dia mendapat lebih banyak input.
Dia juga semakin memahami karakter adi wira itu serta apa yang berlaku di dalam dunia komik Marvel ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko.
“Bersama Spiderman dalam filem ini sangat berbeza dengan kehidupan peribadi saya, namun saya berbangga sebab filem ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Saya juga berbangga jika dapat bersama adi wira ini lagi di dalam filem selepas ini,” katanya.
Emma ditemui Kosmo! di Singapura baru-baru ini bersempena pratonton dan jelajah promosi bersama kru produksi dan juga pelakon The Amazing Spider-Man 2, Andrew Garfield serta Jamie Foxx.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah filem itu, Marc Webb dan penerbit Avi Arad serta Matt Tolmach.
Tambah Emma, ketika kali pertama membintangi filem ini, dia mendapatkan nasihat daripada Kirsten Dunst yang memegang watak sebagai Mary Jane dalam trilogi Spider-Man sebelumnya untuk lebih memahami watak yang dipegangnya.
“Selepas ini saya tidak kisah sekiranya bukan saya yang dipilih untuk memegang watak sama.
“Pada masa sama, saya juga tidak lokek berkongsi pengalaman untuk heroin selepas ini,” katanya yang turut menjelaskan, dia juga sangat berbesar hati sekiranya masih dipilih untuk memegang watak tersebut.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah kuasa ajaib yang ingin dimilikinya, menurut Emma, satu masa dahulu dia berangan untuk mempunyai kuasa telepati.
“Tetapi sekarang saya lebih berminat untuk mempunyai kuasa untuk menghaibkan diri sebab senang untuk saya menghilangkan diri pada bila-bila masa,” katanya tergelak.
Kehidupan peribadi
Mengenai kehidupan peribadinya, Emma enggan terlalu terbuka untuk bercerita tentang kisah cinta.
Bagaimanapun, melihat kepada gerak-geri, perilaku serta cara pandangan antara dia dan Andrew tidak mampu menyembunyikan getaran cinta yang sedang mereka kongsi bersama.
Umum tahu, hubungan mereka mula bercambah ketika mereka sama-sama terlibat dalam filem The Amazing Spider-Man pada tahun 2011.
Keserasian antara mereka dibawa ke luar set penggambaran.
Ketika diaju mengenai hubungan mereka, pasangan selebriti itu tidak menidakkan, tetapi dalam masa sama tidak mengulas dengan lebih lanjut.
Emma juga dilihat bijak menepis persoalan tentang kisah cintanya. Pertanyaan yang dilontarkan kepadanya dialihkan dengan sikapnya yang begitu teruja bercerita tentang filem tersebut yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia 1 Mei ini.
Persoalan media hanya dibalas dengan tindakan spontan mereka.
Andrew dan Emma saling memandang antara satu sama lain. Andrew terus mencapai tangan Emma sebelum menarik manja hidung heroinnya.
EMMA dan Andrew masing-masing tidak memberi penjelasan tentang hubungan cinta mereka yang telah berputik sejak tiga tahun lalu.


Emma pula hanya tersenyum dan suasana itu dilihat wartawan dan sekitar seribu peminat terpilih yang dibenarkan untuk turut sama menyaksikan sidang media tersebut.
“Penulis skrip telah melakukan kerja yang sangat hebat kerana berjaya mencipta keserasian antara kami,” katanya dalam satu sidang media lain yang diadakan sehari selepas itu.
Jelasnya, dia gembira untuk berlakon sebagai teman wanita adi wira seperti Spider-Man yang mana menerusi watak tersebut, dia menjadi wanita berdikari yang tidak bergantung kepada sesiapa termasuk Spider-Man sendiri.
Menurutnya lagi, dia melalui tempoh yang sangat menggembirakan sepanjang menjayakan filem francais adi wira itu kerana semua yang terlibat dalam produksi tersebut dapat bekerjasama dengan baik.
Katanya, semua yang terbabit dalam pembikinan filem tersebut saling membantu dan keadaan penggambaran kali ini disifatkannya lebih baik berbanding The Amazing Spider-Man kerana kebanyakan mereka telah belajar melalui pengalaman.
Emma pada mata Andrew
Buah hati Emma, Andrew Garfield turut menyifatkan Emma sebagai seorang pelakon yang sangat baik dan bijak membuat keputusan.
“Dia juga merupakan seorang gandingan yang sangat membantu dan sering mengingatkan saya untuk membuat persiapan supaya kerja kami dapat berjalan dengan lancar. Dia boleh hidup dalam semua keadaan kerana dia mampu berdikari,” katanya.
Sementara penerbit The Amazing Spider-Man, Avi Arad memberitahu karakter Emma sama seperti yang dibawanya di dalam filem tersebut iaitu seoarang individu yang menakjubkan.
“Pelakon yang hebat, yang membawa cinta, cahaya dan semangat di dalam filem ini. Emma dan Gwen adalah wanita yang pintar, bercita-cita tinggi dan yang setia,” katanya.
Sementara itu, jadual Emma agak padat tahun ini kerana selain The Amazing Spider-Man 2 dia turut terlibat dalam tiga lagi projek besar tahun ini.
Salah satunya ialah filem gandingannya bersama Bradley Cooper dan Alec Baldwin yang belum diberi tajuk. Ia dijangka menemui penonton pada Disember ini.
Selain itu, dia turut terlibat dengan filem Magic in the Moonlight bergandingan dengan Collin Firth serta filem lawak, Birdman bergandingan dengan Zack Galifinakis, Michael Keaton dan Edward Norton.
Mengimbas kembali mengenai kariernya, Emma mula terlibat dengan dunia lakonan ketika berusia 17 tahun dalam drama televisyen Medium dan Malcolm In The Middle.
Emma kemudiannya terlibat dalam filem Superbad (2007); The Rocker (2008); House Bunny (2008); Ghosts of Girlfriends (2009); Paper Man (2009); Abby Zombieland (2009); Marmaduke (2010) dan Easy A (2010).
Selain itu, dia turut berlakon dalam filem Friends With Benefits (2011); Crazy, Stupid, Love (2011); The Help (2011); Gangster Squad (2013); Movie 43 (2013) dan The Croods (2013).
Bintang ini semakin bersinar selepas mendapat anugerah pertama bagi kategori Pelakon Harapan Hollywood pada tahun 2008 dan seterusnya pada tahun 2010, dia dianugerahi Scream Awards Best Ensemble pada 2010.
Kerjaya Emma melonjak naik pada tahun 2011, apabila memenangi enam anugerah, manakala pada 2012 pelakon itu menggondol tujuh anugerah dalam beberapa majlis anugerah yang dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.