Latest News

'SENGGAMA' AWAL REMAJA MENINGKAT 2 KALI GANDA SABAN TAHUN!


Kuala Lumpur: Kadar aktiviti seksual dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini sepanjang dua dekad lalu meningkat daripada 0.9 pada 1994 kepada 8.3 peratus pada 2012.

Dapatan itu diperoleh daripada kajiselidik Global Kesihatan Pelajar Sekolah (GSHS) serta Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkaitan kelakuan sumbang dilakukan remaja sebelum nikah bermula 1994 hingga 2012.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Kamaliah Mohd Noh berkata, kajian nasional itu menunjukkan trend remaja negara ini terbabit dalam aktiviti seksual semakin meningkat saban tahun.

“Kajian dilakukan hampir 20 tahun itu jelas menunjukkan kadar aktiviti seksual remaja dalam tempoh 10 tahun meningkat dua kali ganda iaitu 0.9 peratus pada 1994, 1.8 peratus (1996) dan 2.2 peratus (2004).

“Manakala pada 2006 dapatan statistik mencatatkan 5.4 peratus, 6.5 peratus (2010), 2011 (8.6 peratus) dan 2012 menurun sedikit iaitu 8.3 peratus,” katanya pada Forum Remaja Berkaitan STI di Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya di sini, semalam.

Turut hadir sebagai panel forum itu ialah Profesor Bersekutu Universiti Putra Malaysia Dr Mary Huang Soo Lee dan Pengurus Pemasaran Durex, Reckitt Benckiser Malaysia dan Singapura Karin Chan.

Forum dianjurkan tujuh institusi pengajian tinggi awam dan swasta bersama Durex itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada golongan remaja bahaya penyakit kelamin disebabkan aktiviti seksual sebelum nikah.

Kamaliah berkata, remaja yang terbabit dengan aktiviti seksual sebelum nikah berisiko dijangkiti penyakit jangkitan kelamin (STI).

Menurut Kamaliah, STI bukanlah satu-satunya risiko pendedahan seksual kerana kehamilan remaja yang tidak dirancang adalah hasil lain yang tidak diingini jika kita tidak menangani tingkah laku ini dengan berkesan. 

“Statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 2005 hingga 2011 juga menunjukkan Malaysia menduduki tempat keempat daripada 10 negara berkaitan kehamilan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.