Latest News

PRESIDEN MMA CADANG KERAJAAN KELANTAN CARI PEMOTONG DAGING UNTUK LAKSANAKAN HUKUMAN HUDUD


Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan kerajaan PAS Kelantan menggunakan khidmat pemotong daging untuk melaksanakan hukuman hudud.

Presidennya, Datuk Dr NKS Tharmaseelan, berkata petugas perubatan yang bertauliah sendiri tidak sanggup untuk melakukan perkara sedemikian.

"Prosedur (potong tangan) sangat rumit. Jika doktor tidak tergamak melakukannya maka anda perlu cari tukang potong daging," katanya

Pihak MMA tidak akan campur tangan jika ada mana-mana pihak tidak bertauliah melakukan prosedur pembedahan terbabit.

"Kalau ada yang buat kita tidak boleh buat apa-apa cuma boleh buat laporan polis mengatakan individu itu tidak mendapat pentauliahan yang sah," katanya.

Tharmaseelan berkata, pihak MMA tidak akan bekerjasama dengan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang syariah di negeri tersebut.

Katanya, doktor dan jururawat bertauliah terikat di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan tidak perlu patuh kepada arahan kerajaan negeri.

"Semua hospital di Kelantan hanya menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan kerana gaji mereka dibayar oleh kerajaan pusat," katanya.

Tharmaseelan berkata, MMA akan mengambil tindakan saman dan membatalkan kelayakan tauliah jika mendapati ada doktor yang melakukan perkara tersebut.

Beliau berkata, MMA juga sedang mengkaji untuk meminda undang-undang bagi membolehkan pihak yang tidak ada tauliah perubatan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas kerana melanggar etika perubatan.

Kelmarin, Kelantan merancang menggunakan khidmat pakar bedah untuk memotong tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sekiranya undang-undang Islam itu mula dikuatkuasakan tahun depan.

Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apabila selesai hukuman tersebut pesalah terbabit sudah boleh pulang ke rumah tanpa perlu menjalani sebarang hukuman lain seperti penjara atau sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan akan diambil sebelum dijatuhkan hukuman sekiranya pesalah mencuri atas sebab tertentu seperti lapar atau terpaksa.

"Hukum hudud ini agak berbeza di mana pesalah yang dipotong tangan khususnya untuk kesalahan mencuri itu dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama keluarga dan kerajaan juga tidak akan menanggung apa-apa kos penjagaan tahanan di dalam penjara," katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia. – 25 April, 2014.

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.