|
JIKA kita mahu bercakap mengenai penceritaan yang terdapat dalam sesebuah lirik lagu, tema cinta biasanya sering diangkat untuk ditafsirkan dalam kebanyakan karya yang dihasilkan oleh komposer tempatan.
Namun, tidak semua penulis lirik atau penyanyi terus mengikut formula yang sama. Mengambil situasi harian sebagai tapak asas penceritaan lagu-lagunya, rapper Altimet kini mampu tersenyum bangga dengan kehadiran album solo keduanya berjudul Kotarayaku.
Membuktikan kebolehan menulis lirik untuk 11 buah lagu di dalam album yang diterbitkan oleh Kartel Records ini, tidak sangsi lagi kepetahan Altimet dalam mengembangkan kisah yang ingin disampaikannya secara ringkas kedengaran begitu puitis.
Menerusi trek pertamanya, Kotarayaku, lagu yang menampilkan Noh Salleh sebagai penyanyi undangan ini menyelongkar kisah-kisah rakyat marhaen yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Selain itu, Altimet turut berkongsi perbandingan baik dan buruk yang terdapat di kota Kuala Lumpur daripada pandangan mata kasarnya sendiri.
Di tambah dengan kekuatan vokal Noh, lagu ciptaan vokalis kumpulan Hujan bersama LY itu sedikit sebanyak memberikan gambaran mengenai kisah selanjutnya yang ada dalam album Kotarayaku.
Menginjak ke trek kedua, lagu Syukur yang menggunakan sampel lagu Nilai Cintamu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman, berdiri dengan cemerlang. Diisi dengan nilai-nilai murni serta pengajaran untuk belajar erti berterima kasih, vokal rap Altimet sepanjang karya ini diperdengarkan sememangnya tidak membosankan.
Antara 11 lagu yang terkandung dalam album ini, trek berjudul Aku Tahu yang dicipta oleh Azhar Avex Yunus kedengaran sangat berbeza. Mengambil tema kasih sayang antara seorang anak lelaki dan ayahnya, lagu berentak perlahan yang menampilkan Tomok sebagai penyanyi jemputan ini boleh dikategorikan sebagai karya teratas milik Altimet. Cukup rencah dalam setiap notanya.
Secara keseluruhan, album Kotarayaku berputar sempurna tanpa sebarang lagu yang boleh menerbitkan rasa bosan.
Setiap trek disusun sesuai dengan kesinambungan setiap melodinya. Ditambah dengan nuansa puitis yang cuba disampaikan Altimet dengan hanya menggunakan perkataan harian, album ini boleh dikatakan antara album terbaik setakat ini untuk tahun 2014
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2zgMLEUus
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment