Latest News

Konsert sulung di China, Malaysia

SUASANA ceria pada sidang akhbar konsert Shila di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERKESEMPATAN menghadiri majlis sidang akhbar konsert penyanyi Shila Amzah yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, ia seperti hadir ke sebuah majlis membabitkan penyanyi popular luar negara.
Manakan tidak, dengan kehadiran begitu ramai wakil pihak media terutama dari organisasi media Melayu dan Cina, ia merupakan suasana yang cukup sinonim dengan majlis sidang akhbar penyanyi antarabangsa yang membuat konsert di Malaysia.
Menariknya, sepanjang sesi soal jawab bersama pihak media, Shila turut tidak ketinggalan menunjukkan kebolehannya bertutur dalam bahasa Mandarin, terutamanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan Cina.
Tutur Shila, sebagai seorang penyanyi yang kini sedang melebarkan sayap di negara China, sudah tentu perkara yang paling utama ialah mempelajari bahasa utama negara berkenaan.
"Sebenarnya bukan mudah untuk mempelajari bahasa Mandarin tetapi saya merasakan tidak cukup kalau saya sekadar fasih berbahasa Melayu dan Inggeris sahaja serta agak sukar mengembangkan karier di China.
"Selain itu, dengan kebolehan berbahasa Mandarin, sudah tentu saya dapat berada lebih dekat dengan peminat serta mampu menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa tersebut sebagai salah satu tarikan," ujarnya.
Berbalik kepada konsertnya itu, Shila memberitahu, dia bakal mengadakan dua buah konsert solo yang akan berlangsung di Shanghai, China pada 16 Ogos dan Kuala Lumpur pada 13 September depan.
Ujarnya, konsert yang dianjurkan oleh Mega Ultimate Sdn. Bhd. dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Bhd. itu turut menggunakan khidmat Jennifer Thompson sebagai penerbit dan Helen Yap selaku pengarah muzik.
"Saya memilih tema cinta untuk konsert ini dan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin juga berkaitan dengan cinta kepada, keluarga, rakan-rakan dan kekasih.
"Saya memilih tema ini kerana mahu menunjukkan ekspresi dan tanda terima kasih kepada mereka yang telah banyak menyokong kerjaya nyanyian saya.
"Konsert akan berlangsung kira-kira satu jam 30 minit menerusi persembahan sebanyak 20 buah lagu," jelasnya lebih lanjut mengenai konsert sulungnya itu.
Bagaimanapun, penyanyi tersebut menafikan pemilihan Shanghai sebagai lokasi pertama untuk konsert sulungnya kerana populariti yang sedang diraihnya di China ketika ini.
Sebaliknya, dia menegaskan bahawa tajaan untuk mengadakan konsert di Shanghai diterima oleh pihaknya terlebih dahulu dan itu antara faktor yang menyebabkan dia mengadakan konsert di sana lebih awal berbanding di Kuala Lumpur.
"Saya meminta supaya tiada mana-mana pihak cuba memberikan persepsi yang mengatakan saya seperti menganaktirikan negara sendiri kerana perkara ini berkaitan dengan tajaan," ungkapnya.
Tidak terjejas
Sejak dinobatkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung dua tahun lalu, Shila lantas tidak menoleh ke belakang lagi untuk terus mengembangkan karier nyanyiannya di China.
Ternyata dia cukup beruntung kerana kehadirannya di negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.3 bilion itu dialu-alukan dengan sambutan cukup meriah yang diraihnya.
Menurut Shila, dia bersyukur dengan penerimaan positif yang diberikan oleh peminat di negara berkenaan, meskipun tampil sebagai penyanyi yang berhijab.
"Alhamdulillah, peminat di China dapat menerima kehadiran diri saya sebagai seorang penghibur dan sangat berterima kasih atas sokongan padu yang telah diberikan kepada saya.
"Selepas muncul dalam pertandingan I'm A Singer baru-baru ini, jumlah peminat saya juga semakin bertambah dan sudah tentu ia merupakan suatu perkembangan yang baik," ujarnya yang kini sudah berhasil mengumpul seramai 1.8 juta peminat menerusi laman sosial Weibo.
Dalam pada itu, Shila memberitahu bahawa tragedi pesawat MH370 yang berlaku pula langsung tidak menjejaskan perjalanan kariernya di China dan para peminat masih terus memberikan sokongan.
Tidak menafikan ada segelintir pihak yang cuba menimbulkan provokasi terhadap dirinya berhubung tragedi yang berlaku, ia dapat diatasi dengan bantuan daripada peminatnya sendiri di negara berkenaan yang tampil mempertahankan dirinya.
"Kalau ada yang memberikan komen-komen negatif menerusi laman sosial, pasti akan ada peminat yang mempertahankan diri saya dengan membalas komen sedemikian.
"Selain itu, rakan-rakan penyanyi lain yang turut bertanding dalam I'm A Singer juga banyak memberikan sokongan dan berpesan supaya saya tidak membaca komen negatif yang dilemparkan. Malah, mereka sendiri tidak pernah bertanya apa-apa kepada saya tentang tragedi MH370," ujarnya.
Album Mandarin
Bercerita lebih lanjut tentang perjalanan karier nyanyiannya selain berkenaan dengan konsert yang bakal dijayakannya itu, Shila memberitahu, dia akan tampil dengan sebuah album baharu.
Ujarnya, sesuatu yang menarik tentang album tersebut apabila kesemua lagu yang dimuatkan adalah dalam bahasa Mandarin sepenuhnya.
"Memandangkan kini saya sedang mengembangkan karier nyanyian di China, sudah tentu saya perlu mengambil kesempatan untuk menghasilkan sebuah album Mandarin.
"Proses pembikinan album berkenaan sudah memasuki peringkat akhir dan ia bakal dilancarkan pada bulan Jun nanti. Sebanyak enam buah lagu yang akan dimuatkan dalam album sulung Mandarin saya," jelasnya.
Selain itu, selepas pembabitannya dalam pertandingan I'm A Singer, Shila juga bakal terbabit dengan lima program televisyen berbentuk hiburan di China.

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.