Latest News

KADI AHMAD HANIF NAIM: BACAAN TARHIM & LAUNGAN AZAN SUBUH TIDAK MENGANGGU TIDUR


Pejabat Kadi Daerah Johor Bharu menjelaskan bacaan tarhim atau zikir sebelum azan Subuh yang dipertikaikan di Masjid Perjiranan 9 di kawasan itu sebenarnya tidak mengganggu tidur.


Kadi Ahmad Hanif Naim berkata, bacaan itu hanya dibuat selama kira-kira lima minit bagi membolehkan umat Islam bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh berjemaah.


"Bacaan tarhim tidak lama, hanya lima atau enam minit. Saya rasa tidak ada masalah, ia membolehkan umat Islam bersiap sedia untuk ke masjid.


"Kalau bacaan satu jam, itu mungkin mengganggu. Lima minit tak panjang (tempohnya)," katanya ketika dihubungi media semalam.


Beliau mengulas dakwaan seorang lelaki Melayu 56 tahun membuat laporan polis kerana tidurnya terganggu akibat laungan azan Subuh dan bacaan doa yang didakwa kuat dari pembesar suara masjid.


Lelaki tersebut juga dilapor mendakwa membuat laporan kepada Pejabat Agama Islam Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).


Ahmad Hanif berkata aduan itu bukan perkara baru kerana sebelum ini individu yang sama pernah mengadu “perkara lebih kurang sama" kepada jawatankuasa masjid berkenaan pada 2011.


Bagaimanapun, Ahmad Hanif hairan mengapa individu itu sahaja yang mengemukakan aduan sedemikian, sedangkan penduduk di sekitarnya tidak.


"Kita juga sudah maklumkan kepada jawatankuasa (masjid) supaya mengutamakan azan sahaja. (Perkara) yang lain, kita nasihatkan gunakan speaker dalam sahaja.


"Yalah, kita hidup bermasyarakat, kena bertolak ansur. Kita tak mahu timbul isu ini sehingga jadi kes jenayah (syariah)," katanya.


Katanya lagi, individu itu juga mempunyai alternatif lain termasuk berpindah ke tempat lain kerana hanya menyewa di tempat itu.


Ahmad Hanif berkata, kakitangan pejabatnya telah pergi ke rumah pengadu itu semalam untuk berbincang dengan individu terbabit tetapi rumahnya berkunci.


"Jadi kita risik-risik dengan jirannya. Jirannya cakap, dia memang tidak suka bising. Pernah jiran buat kerja kenduri, dia buat laporan polis.


"Dan budak-budak pernah bermain-main dekat dengan rumah, tapi dia buat aduan kepada jawatankuasa penduduk... Sama ada dia ada masalah peribadi, saya tidak tahu," kata kadi itu.


p/s: Kita doakan yang terbaik untuk semua..

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.