Latest News

‘Aku ingat mau tembak Najib’ – Itu Bukan Akaun Facebook Saya!

“Saya bimbangkan keselamatan diri dan keluarga. Disebabkan gambar kami digunakan pada akaun facebook (FB) palsu itu, kami dikecam dan lebih teruk lagi apabila pengguna Internet kini tahu lokasi kami,” kata Muhammad Hanif Hazizi Mohd Noh, 26, menyangkal akaun laman sosial itu yang menggunakan nama Hanimura Yabuza adalah miliknya.


Akaun itu mula mendapat perhatian apabila memuat status ugutan membunuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada jam 1.24 tengah hari, 26 Februari lalu.

Tindakan itu bukan saja dikecam pelbagai pihak, malah membahayakan nyawanya sebagai pemilik gambar yang digunakan hingga dia terpaksa tinggal berasingan dengan isterinya sejak lebih seminggu lalu.

Muhammad Hanif berkata, pemilik akaun itu menggambarkan dirinya sebagai kaki perempuan kerana turut memaparkan beberapa gambar gadis yang didakwa sebagai bekas teman wanitanya.

“Gambar profil digunakan pemilik akaun itu adalah gambar saya bersama empat rakan yang diambil pada majlis perkahwinan seorang rakan di Kuala Perlis, Perlis pada 2011.



































“Ia adalah gambar kenangan bersama pengantin dan disimpan dalam satu album di akaun FB saya, namun dicuri dan digunakan pemilik akaun itu sebelum dimuat naik beberapa status tidak bertanggungjawab.

“Saya diberitahu mengenai penggunaan gambar kami pada 28 Mac lalu apabila bapa saudara menelefon dan bertanya sama ada akaun itu adalah milik saya atau tidak kerana terdapat status ugutan ‘aku ingat mau tembak jek Najib Razak…aku tarak goyang sama sape2’,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pelik dengan pertanyaan itu, dia membuka akaun FB berkenaan dan terkejut apabila mendapati individu terbabit menggunakan gambarnya sebagai gambar profil.

Katanya, pada mulanya dia marah dengan keadaan itu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, perasaan marahnya bertukar bimbang apabila ramai pemilik akaun laman sosial terbabit memaki hamun dan mengancam keselamatannya.

“Lebih malang ada yang tahu kami dari daerah ini dan dalam beberapa komen, beberapa pengguna memberitahu di mana rakan saya membeli makanan, warna pakaian dan beberapa keterangan terperinci.

MUHAMMAD Hanif (kanan) bersama Mohamad Shazwan menunjukkan akaun FB palsu menggunakan identiti mereka.

“Kini kami hidup tertekan.

Kami adalah rakan satu taman perumahan dan membesar bersama-sama, malah saya adalah ahli Pemuda UMNO dan mustahil akan melakukan perkara (ugut bunuh) itu.

“Jika difikirkan logik, mana ada individu yang berani membuat ugutan bunuh menggunakan gambar sendiri, inikan pula melakukan ancaman kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa bercuti seminggu kerana bimbangkan keselamatan dan menghantar isterinya pulang ke kampung.


Katanya, dia berharap pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengesan individu terbabit dan mendakwanya. –myMetro

No comments:

Post a Comment

Pensel Rajin Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.